Kuih lapis antara kuih orang lama yang sememangnya tidak asing lagi. Pada hari ini pelbagai versi daripada segi warna dan rasa sudah dipelbagaikan. Kali ini kami kongsi resepi kuih lapis pandan. Resepi ini menggunakan tepung beras sebagai bahan utama selain versi sebelum ini kami kongsi berasaskan tepung gandum. Kuih ini tekstur nya lebih kenyal sedikit berbanding menggunakan tepung gandum . Namun hasilnya tetap menyelerakan dengan aroma pandan yang wangi dan rasa lemak manis.
Bahan – bahan :
2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
2 cawan air
1 cawan santan pekat
1 cawan air pandan (kisar 7-8 helai daun pandan bersama 1 cawan air dan tapiskan)
sedikit garam
sedikit pewarna makan hijau
Cara – cara :
- Kisar semua bahan kecuali pewarna makanan. Kisar sehingga semua larut dan sebati.
- Asingkan separuh daripada adunan kisar tadi.
- Separuh lagi , tambahkan pewarna makanan (hijau) untuk menghasilkan warna yang berlapis pada kuih lapis pandan.
- Sediakan loyang 6inci dan dioles dengan minyak masak sedikit.
- Apabila pengukus sudah panas, masukan 4-5 senduk adunan putih ke dalam loyang dan kukus selama 5-7 minit.
- Kemudian sendukan pula adunan yang bewarna hijau dan kukus lagi 5-7 minit. Ulang langkah 5 dan 6 sehigga adunan habis.
- Selepas adunan yang terakhir, kukus selama 20-25 minit lagi sehingga kuih lapis pandan masak.
- Kuih lapis pandan sedia untuk dihidangkan, selepas ia agak sejuk sedikit supaya cantik bentuknya apabila dipotong.